CUEPACS gesa KPM utamakan graduan Pendidikan

0
28
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa memberi keutamaan kepada graduan Pendidikan yang masih tidak mendapat penempatan bagi mengisi pengambilan khas guru secara one-off yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, pengambilan kumpulan graduan yang layak berdasarkan opsyen mata pelajaran masing-masing itu wajar bagi memanfaatkan kemahiran dan keupayaan mereka secara berkesan.

Justeru katanya, tiga aspek utama iaitu kualiti, kemahiran dan minat perlu diberi keutamaan KPM dalam tawaran mengisi jawatan guru di seluruh negara itu.

“Tiga elemen itu perlu diberikan penekanan kerana cabaran yang dihadapi dalam dunia perguruan ketika ini amat besar.

“CUEPACS tidak mahu pengambilan secara besar-besaran itu hanya mampu menyelesaikan isu kekurangan guru semata-mata tetapi tidak memberi impak yang diharapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan pelaksanaan pengambilan khas secara ‘one-off’ seramai 18,702 pendidik bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di sekolah-sekolah di seluruh negara.

Adnan bagaimanapun berkata, CUEPACS melihat pengambilan guru secara besar-besaran itu tidak sewajarnya diteruskan pada masa hadapan, sebaliknya pengambilan perlu dilakukan secara berperingkat mengikut kekosongan semasa.

Katanya langkah berkenaan lebih wajar kerana ia mampu mengatasi masalah semasa dan bukannya dikumpulkan untuk diselesaikan dalam satu tempoh sahaja.

Adnan juga meminta KPM menyelesaikan masalah permohonan pertukaran guru sedia ada ketika ini sebelum memberi penempatan kepada guru baharu.

“Selesaikan dahulu permohonan guru-guru lama yang memohon untuk bertukar terutama kepada pasangan jarak jauh, mempunyai ibu bapa yang uzur atau menghadapi masalah kesihatan yang serius,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here