Dakwaan harga tepung gandum naik Julai ini tidak benar

0
80
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kerajaan menafikan akan berlakunya kenaikan harga tepung gandum di pasaran bermula 1 Julai hadapan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini kerana tiada pengilang yang diberi kebenaran untuk menaikkan harga tepung gandum.

Katanya, pengilang perlu mendapatkan kebenaran Pengawal Bekalan terlebih dahulu sebelum mereka dapat menaikkan harga barangan berkenaan.

“KPDNHEP hanya menerima satu permohonan daripada pihak pengilang untuk menaikkan harga tepung gandum tanpa subsidi dalam pek satu kilogram (kg) dan pek 25kg.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada kelulusan diberikan kepada mana-mana pengilang untuk menaikkan harga tepung gandum. Berdasarkan syarat khas lesen mengilang di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, semua pengilang tepung hendaklah mendapatkan kebenaran Pengawal Bekalan sebelum menaikkan harga jualan tepung gandum.

“Oleh yang demikian, dakwaan kenaikan harga tepung gandum mulai 1 Julai adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

Alexander berkata, harga tepung gandum bersubsidi masih kekal seperti yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM1.35 bagi paket 1kg.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kenaikan harga tepung gandum bermula Julai ini sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Ini kerana kenaikan tersebut sudah pastinya akan meningkatkan harga jualan makanan yang menggunakan tepung gandum sebagai bahan asas utama dan menyebabkan orang ramai bertambah terbeban dengan situasi semasa.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here