Derma rider: Pembela tuntut polis tarik semula kenyataan

0
936
AMINUDDIN YAHAYA

CYBERJAYA – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menuntut pihak polis memohon maaf dan menarik balik kenyataan berhubung dakwaan kutipan derma yang dianjurkan pertubuhan itu sebagai tindakan berkepentingan sendiri.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya berkata, kutipan derma ‘Tabung Kilat Ikat Jamin Rider FoodPanda’ dilancarkan untuk membantu lima penghantar makanan yang ditahan polis di Sungai Way berhubung insiden pergaduhan pada Jumaat lalu bukannya satu penipuan seperti yang didakwa.

Beliau berkata, pihaknya berharap pihak polis dapat menarik semula kenyataan itu yang jelas telah mencemar integriti dan ketelusan Pembela sebagai NGO Islam yang sentiasa peka dalam isu-isu berkaitan agama dan bangsa.

“Saya tahu ramai yang kecewa dengan kenyataan Ketua Polis Petaling Jaya kononnya ada unsur penipuan dan melanggar undang-undang dalam usaha kami membela kebajikan rider yang ditahan kerana mempertahankan kalimah Allah baru-baru ini.

“Ramai yang terus mempercayainya kerana ia datang dari seorang Ketua Polis daerah yang pasti tinggi integritinya.

“Isu ketelusan kutipan derma ini adalah suatu yang sensitif dalam kalangan masyarakat kita apatah lagi jika ianya adalah NGO-NGO Islam yang pasti diharapkan mempunyai integriti dan ketelusan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Petikan berita mengenai kenyataan Ketua Polis Petaling Jaya semalam.

Aminuddin berkata, perkara itu bagaimanapun tidak menjejaskan fokus pihaknya dalam membela isu persendaan terhadap kalimah Allah.

Cuma beliau agak kesal apabila perkara itu akhirnya menjadi isu Pembela Vs Polis sedangkan pihak polis adalah sahabat dan rakan strategik Pembela dalam membela agama, bangsa dan negara.

Saya tidak mahu kekhilafan ini menjejaskan hubungan kita apatah lagi menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap integriti polis.

“Saya sangat berharap agar pihak polis dapat menarik balik dan meminta maaf kepada pihak PEMBELA berikutan isu ini.

“Kita tidak tergamak nak bawa isu ini ke mahkamah pula, kerana PEMBELA dan pihak polis sepatutnya bekerjasama dan saling membantu dalam agenda menegakkan keadilan,” katanya

Zulhelmi Mansor

Sementara itu, Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor mengesahkan kutipan derma itu sebagai sahih dan bukan satu penipuan seperti didakwa.

Katanya, kutipan derma kilat itu bertujuan membantu penghantar makanan yang ditahan dan terkesan akibat penahanan tersebut.

“Apabila kami mengetahui lima orang penghantar makanan yang ditahan akan diperintahkan ke mahkamah bagi mendapat tahanan reman, terus kami mendapatkan nasihat dan menghubungi Pengerusi NGO PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya khusus untuk mendapatkan pertolongan khidmat peguam bagi tujuan ini.

Dalam perkembangan terbaharu, Zulhelmi memaklumkan bahawa kelima-lima penghantar makanan itu telah dibebaskan pada jam 4 petang semalam dengan jaminan polis.

Sehubungan itu, beliau berharap agar tuduhan yang dilemparkan kepada Pembela dapat ditarik semula.

“Sememangnya tujuan murni PEMBELA melalui kutipan dana sumbangan ini hanya demi kebajikan penghantar yang terlibat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here