
MANILA – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang terkenal dengan pendekatan keras dan tidak berkompromi memberi amaran hukuman penjara ke atas rakyat negara itu yang menolak suntikan vaksin Covid-19.
Pelaksanaan hukuman itu katanya sedang dipertimbangkan ekoran sambutan yang masih rendah di beberapa kawasan di ibu kota negara itu.
Menurut Duterte, langkah-langkah yang mandatori perlu dilakukan bagi memastikan orang ramai akur kepada pelan pemulihan kesihatan dan ekonomi yang dilihat semakin kritikal.
“Anda perlu pilih antara dua, divaksin atau terus dipenjarakan.
“Ini adalah krisis negara yang perlu kita tangani. Saya cukup geram dengan rakyat yang tidak menyahut saranan kerajaan,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di stesen-stesen televisyen utama negara itu semalam.

Menurut Duterte, kerajaannya pada ketika ini tidak mempunyai pilihan hukuman lain dan tidak teragak-agak untuk memilih pelaksanaan hukuman itu walaupun mendapat tentangan pegawai kesihatan yang mengesyorkan suntikan vaksin harus diterima secara sukarela.
Sehingga 20 Jun, pihak berkuasa Filipina telah memberikan vaksinasi sepenuhnya kepada 2.1 juta orang, yang dianggap masih perlahan berbanding sasaran kerajaan untuk mengimunisasi 70 juta individu tahun ini.
Duterte sebelum ini dikritik ekoran pelaksanaan hukuman memburu dan menembak mati pengedar dadah di negara itu sebaik sahaja memegang jawatan Presiden.