Dong Zong kekal dengan sikap sombong? – Pembela

0
113
Aminuddin Yahaya

CYBERJAYA – Dakwaan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong yang mengatakan sistem pendidikan satu aliran (Kebangsaan) sebagai penindasan adalah satu penghinaan kepada sistem pendidikan negara.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim itu jelas menunjukkan betapa sombong, tidak jujur dan tidak bertanggungjawab.

“Kalaulah dengan adanya kepelbagaian aliran yang ada pada hari ini pun mereka ‘meroyan’ sebegini rupa tiba-tiba, saya tidak dapat bayangkan bagaimana ‘terbakarnya’ mereka jika satu hari nanti kerajaan benar-benar menjadikannya satu aliran nanti?,” katanya dalam kenyataan di Facebook Pembela hari ini.

Aminudin berkata, dalam keadaan negara masih membenarkan operasi sekolah vernakular, Dong Zong masih mahu mempertikaikan toleransi kerajaan.

Bahkan katanya, pendirian Dong Zong juga jelas cuba menanam kebencian dan ‘keluar’ daripada identiti pendidikan nasional.

“Logik yang mudah, apa tujuan sebenarnya dikekalkan sekolah pelbagai aliran di negara kita jika mereka enggan berasimilasi dengan identiti nasional dan pada masa yang sama berkelakuan angkuh dan tidak bersyukur melalui provokasi-provokasi sebegini?

“Apakah segala peruntukan kerajaan kepada sekolah vernakular yang mencapai berbilion ringgit tidak cukup?,” tegasnya.

Sehubungan itu, Aminuddin menyeru kerajaan melihat semula keabsahan status kewujudan sekolah vernakular di negara ini.

“Jangan biarkan pemikiran rasis ultra kiasu sebegini yang sedang menjadi kanser dalam masyarakat ini terus didanai oleh pemerintah,” katanya.

Laporan berita mengenai kenyataan Pengerusi Dong Zong yang mengkritik sistem pendidikan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here