
MUNICH – Jerman gagal memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri apabila tewas 0-1 kepada Perancis, sebentar tadi.
Dalam perlawanan kedua kumpulan F Kejohanan Euro 2020 di Football Arena Munich sebentar tadi, gol kemenangan pasukan pelawat hadir menerusi jaringan gol sendiri oleh pemain pertahanan Jerman, Matts Hummels pada minit ke-20.
Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan Jerman cuba untuk menggandakan serangan, namun gagal menemukan gerakan penyudah yang boleh menghasilkan gol.
Perancis turut berpeluang untuk melebarkan jurang, namun gol-gol jaringan Kylian Mbappe dan Karim Benzema dibatalkan pengadil kerana ofsaid.
Walaupun berlangsung sengit, Jerman dilihat agak dominan dalam mengawal permainan, dengan Perancis hanya sekali sekala cuba melancarkan serangan balas pantas menerusi Mbappe.
Keputusan perlawanan kekal 0-1 apabila pengadil meniupkan wisel penamat.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan F yang dimainkan lebih awal di Budapest, Hungary, Portugal menewaskan Hungary 3-0.