
BUDAPEST – Perancis terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dengan Hungary dalam perlawanan Kumpulan F Kejohanan Euro 2020, sebentar tadi.
Dalam perlawanan di Arena Puskás itu tadi, Hungary mendahului permainan menerusi jaringan pemain pertahanan, Attila Fiola ketika perlawanan sudah memasuki waktu tambahan separuh masa pertama.
Tersentak dengan gol itu, Perancis yang juga juara Piala Dunia 2018 cuba menggandakan serangan.
Usaha mereka ternyata berhasil apabila gerakan yang dimulakan oleh Kylian Mbappé berjaya disudahkan oleh Antoine Griezmann pada minit ke-66 perlawanan.

Minit-minit terakhir perlawanan semakin rancak apabila Perancis melancarkan serangan bertali arus bagi mencari gol kemenangan, namun pemain pertahanan Hungary berjaya mematahkan setiap serangan yang dilancarkan.
Perlawanan kumpulan seterusnya adalah di antara Portugal menentang Jerman pada pukul 12 tengah malam nanti.