
SEVILLE – Sepanyol memperoleh keputusan seri yang kedua ketika menentang Poland dalam perlawanan peringkat Kumpulan F Kejohanan Euro 2020, sebentar tadi.
Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium La Cartuja itu, perlawanan berakhir dengan keputusan kedua-dua pasukan seri 1-1.
Gol Sepanyol dijaringkan oleh Alvaro Morata pada minit ke-25, manakala gol Poland dijaringkan oleh Robert Lewandowski menerusi satu tandukan pada minit ke-54.
Berikutan keputusan ini, Sepanyol yang pernah menjuarai kejohanan ini pada tahun 1964, 2008 dan 2012, tidak ada pilihan lain kecuali menang pada perlawanan akhir peringkat kumpulan menentang Slovakia pada pagi Khamis nanti, jika ingin melangkah ke pusingan seterusnya.
Ketika ini, takhta kedudukan kumpulan dihuni oleh Sweden, yang akan berdepan Poland dalam perlawanan yang akan dimainkan serentak.
Di atas kertas, Sweden dan Slovakia hanya memerlukan keputusan seri untuk melangkah ke pusingan seterusnya.