Euro 2020: Sepanyol berhempas pulas tewaskan Croatia

0
38
Ferran Torres (kanan) menjaringkan gol ketiga Sepanyol ketika menentang Croatia, sebentar tadi.

COPENHAGEN – Sepanyol mara ke pusingan suku akhir Kejohanan Euro 2020 apabila berjaya menundukkan Croatia 5-3 di Parken Stadium, sebentar tadi.

Namun, kemenangan ini tidak hadir dengan mudah kerana kedegilan Croatia yang enggan menyerah kalah, sehingga memaksa perlawanan diheret ke waktu tambahan.

Sepanyol, bekas juara kejohanan edisi 1964, 2008 dan 2012 itu pada awalnya dikejutkan dengan jaringan gol sendiri oleh Pedri yang melakukan tolakan ke belakang yang kurang tepat kepada penjaga gol, menyebabkan bola tersebut terus melepasi gawang gol Sepanyol pada minit ke-20.

Ketinggalan 0-1, Sepanyol yang mengawal permainan terus melakukan asakan dan cubaan mereka berjaya menghasilkan gol pada minit ke-38 hasil jaringan Pablo Sarabia.

Pada separuh masa kedua perlawanan, barisan pertahanan Croatia sekali lagi dibolosi pada minit ke-57 apabila sepakan lintang Ferran Torres berjaya ditanduk masuk oleh César Azpilicueta bagi gol kedua Sepanyol.

Torres kemudiannya berjaya meledak gol ketiga Sepanyol pada minit ke-77.

Croatia kemudiannya berjaya mengurangkan defisit apabila Mislav Oršić menjaringkan gol pada minit ke-85.

Dan ketika perlawanan semakin menghampiri penamatnya, Croatia berkaya menhasilkan satu jaringan menerusi Mario Pašalić pada minit ke 90+2 bagi mengikat kedudukan 3-3 dan mengheret permainan ke masa tambahan.

Pada separuh masa pertama waktu tambahan, Sepanyol kembali menjarakkan jurang menerusi gol jaringan Alvaro Morata pada minit ke-100, diikuti Mikel Oyarzabal pada minit ke-103.

Perlawanan berkesudahan dengan keputusan Sepanyol 5, Croatia 3.

Pada pusingan suku akhir nanti, Sepanyol akan bertemu dengan pemenang perlawanan di antara Perancis dengan Switzerland yang akan berlangsung di Bucharest, Romania sebentar lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here