Euro 2020: Switzerland kecewakan Perancis untuk layak ke suku akhir

0
58
Paul Pogba menjaringkan gol ketiga Perancis dalam perlawanan menentang Switzerland sebentar tadi.

BUCHAREST – Switzerland menempah tiket ke pusingan suku akhir Kejohanan Euro 2020, apabila berjaya mengenepikan cabaran Perancis 5-4 menerusi sepakan penalti, sebentar tadi.

Perlawanan masa sebenar berkesudahan dengan keputusan 3-3, lalu mengheret permainan ke waktu tambahan, yang turut berkesudahan tanpa gol, sekaligus memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.

Penyerang sensasi Perancis, Kylian Mbappé ‘meranapkan’ harapan Perancis untuk mara ke pusingan seterusnya apabila sepakan penaltinya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Switzerland, Yann Sommer.

Dalam perlawanan di Arena Nasional Bucharest itu tadi, Switzerland terlebih dahulu membuka jaringan menerusi tandukan Haris Seferović pada minit ke-15.

Pada separuh masa kedua, Switzerland berpeluang menggandakan jaringan, namun sepakan penalti Ricardo Rodríguez berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Perancis, Hugo Lloris.

Seperti tergamam, Switzerland kemudiannya dikejutkan lagi menerusi dua gol pantas hasil jaringan Karim Benzema yang hadir pada minit ke-57 dan 59.

Perjalanan Switzerland kelihatan semakin sukar apabila pemain tengah Perancis, Paul Pogba berjaya menyumbat gol ketiga pasukannya pada minit ke-75.

Switzerland, bagaimanapun, berjaya merapatkan jurang apabila Seferović berjaya menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-81.

Perlawanan kelihatan seolah-olah akan tamat dengan kemenangan berpihak kepada Perancis, namun Switzerland mempunyai rencana sendiri, dan hasilnya, berjaya memperoleh gol penyamaan pada minit ke-90 menerusi Mario Gavranović bagi memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Perlawanan masa tambahan berlangsung dengan kedua-dua pasukan saling mengasak, namun gagal menemukan pergerakan penyudah hingga memaksa pemenang perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Pada pusingan suku akhir nanti, Switzerland akan berdepan Sepanyol di Saint Petersburg, Rusia pada 3 Julai depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here