
GLASGOW – Ukraine menjadi pasukan terakhir yang mengesahkan tempat di pusingan suku akhir Kejohanan Euro 2020 apabila berjaya menewaskan Sweden 2-1, sebentar tadi.
Dalam perlawanan pusingan kalah mati di Hampden Stadium itu tadi, Ukraine terlebih dahulu di hadapan apabila Oleksandr Zinchenko menjaringkan gol pada minit ke-27.

Sweden kemudiannya berjaya mengikat kedudukan menerusi Emil Forsberg yang menjaringkan gol pada minit ke-43.
Di separuh masa kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun tindakan penyudah yang dicari masih belum ditemukan.
Perlawanan masa sebenar tamat dengan kedudukan 1-1 memaksa pemenang perlawanan ditentukan menerusi waktu tambahan.
Pada waktu tambahan, tugas Sweden untuk meraih kemenangan menjadi sukar apabila terpaksa bermain dengan 10 orang pemain setelah Marcus Danielson dilayangkan kad merah pada minit ke-98 kerana terjahan keras ke atas pemain lawan.
Ukraine yang mempunyai kelebihan seorang pemain, akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila pemain gantian, Artem Dovbyk berjaya menjaringkan gol pada minit ke-102.
Di pusingan suku akhir nanti, skuad kendalian bekas penyerang prolifik Andriy Shevchenko ini akan bertemu England di Stadium Olimpik, Rom pada 4 Julai.