
SAINT PETERSBURG – Sweden mencerahkan peluang untuk mara ke pusingan kalah mati Kejohanan Euro 2020 dengan meraih kemenangan 1-0 ke atas Slovakia, sebentar tadi.
Dalam perlawanan di Stadium Saint Petersburg, Russia sebentar tadi, gol kemenangan Sweden hadir menerusi sepakan penalti Emil Forsberg pada minit ke-77.
Sepakan penalti itu berpunca daripada kesilapan penjaga gol Slovakia, Martin Dúbravka terlanggar pemain tengah Sweden, Robin Quaison yang sedang melakukan serangan ke pintu gawangnya.
Kemenangan ini memastikan 3 mata penuh buat Sweden, yang kini menghuni tangga teratas Kumpulan E dengan 4 mata.
Slovakia menduduki tangga kedua dengan 3 mata.
Perlawanan kumpulan seterusnya akan berlangsung esok antara Sepanyol menentang Poland.