Feri Pulau Pinang kembali terapung

0
125

Feri Pulau Pinang itu kembali terapung pada pukul 10 malam semalam

CYBERJAYA – Feri Pulau Pinang yang sebelum ini terbiar dan hampir karam ketika diletakkan di limbungan Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang kembali terapung selepas kerja-kerja baik pulih selesai.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, feri itu kembali terapung pada pukul 10 malam semalam.

“Namun pasukan pembaikan kami akan terus memberi perhatian dan pemeriksaan penuh kepada keadaan feri dari semasa ke semasa untuk memastikan peristiwa ini tidak akan berlaku lagi.

“Sekiranya semua tindakan pembaikan telah siap dilaksanakan, Feri Pulau Pinang akan ditempatkan di Tanjung City Marina dan akan diubahsuai sebagai Muzium Terapung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih atas usaha dan tindakan profesional pasukan SPPP dan Penang Port Sdn Bhd dalam memastikan feri tersebut dibaik pulih.

Keadaan Feri Pulau Pinang yang hampir tenggelam sebelum dibaik pulih

Sabtu lalu, beberapa gambar menunjukkan Feri Pulau Pinang yang berkeadaan hampir tenggelam, tular dalam media sosial sehingga menyebabkan ramai menyuarakan kebimbangan akan nasib feri ikonik yang kaya dengan nilai warisan itu.

Media sebelum ini melaporkan terdapat beberapa lubang pada feri telah berusia itu yang kini berlabuh di limbungan Bagan Dalam, Butterworth, menyebabkan air masuk serta memenuhi ruang enjinnya.

Insiden berkenaan mengakibatkan feri terbabit ‘condong’ sebelah.

Feri Pulau Pinang yang sudah berusia itu tidak lagi beroperasi sejak akhir 2019.

Berikutan ketiadaan alat ganti dan enjinnya tidak lagi dapat dibaiki, feri berkenaan dihantar ke limbungan pada 27 November 2019.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here