Gol seawal minit ke-2 perlawanan gagal bantu Denmark yang tewas 1-2 kepada Belgium

0
63
Kevin De Bruyne (kanan) berjaya menjaringkan gol kemenangan untuk Belgium dalam aksi bertemu Denmark sebentar tadi

COPENHAGEN – Jaringan pantas seawal minit kedua oleh penyerang Denmark, Yussuf Poulsen ketika bertemu Belgium sebentar tadi dalam aksi Kumpulan B Euro 2020 masih gagal membantu pasukannya meraih kemenangan yang dicari-cari.

Denmark yang cuba bangkit semula selepas masih ‘terkejut’ dengan insiden yang berlaku terhadap pemain penyerangnya, Christian Eriksen yang mengalami serangan jantung ketika pasukannya bertemu Finland bermula dengan baik apabila Poulsen berjaya menewaskan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois seawal minit 1.39.

Bagaimanapun, gol tersebut gagal dipertahankan apabila Belgium kembali bangkit pada separuh masa kedua dengan menyumbat dua gol masing-masing oleh Thorgan Hazard pada minit ke-54 dan Kevin De Bruyne pada minit ke-70.

Jaringan pantas Poulsen meletakkan namanya sebagai penjaring kedua terpantas sepanjang penganjuran kejohanan EURO.

Sebagai rekod, gol tersebut merupakan yang kedua terpantas dalam sejarah kejohanan EURO di belakang jaringan pemain Rusia, Dmitri Kirichenko ketika menewaskan Greece 2-1 dalam edisi 2004.

Kirichenko hanya mengambil masa 1.07 minit untuk menewaskan penjaga gol Greece, Antonios Nikopolidis.

Dalam pada itu, aksi perlawanan antara kedua-dua pasukan juga dihentikan seketika pada minit ke-10 bagi bagi memberikan semangat kepada Eriksen yang masih dirawat di hospital akibat serangan jantung yang dialaminya.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi EURO 2020, Ukraine berjaya menewaskan Macedonia Utara dengan keputusan 2-1.

Ukraine berjaya menewaskan Macedonia Utara 2-1

Gol-gol Ukraine dijaringkan oleh Andriy Yarmolenko dan Roman Yaremchuk pada minit ke-29 dan 34 perlawanan manakala gol sagu hati Macedonia Utara dijaringkan oleh Ezgjan Alloski pada minit ke-57.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here