
KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Hari Bapa yang jatuh hari ini, Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (MITEC) yang menjadi salah satu lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tidak ketinggalan meraikan sambutan untuk insan yang bergelar bapa itu hari ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MITEC, Mala Dorasamy berkata, golongan bapa yang hadir bagi menerima suntikan vaksin diberi hadiah dan inisiatif itu dilakukan sebagai tanda penghargaan serta ingatan buat mereka.
“Terdapat kira-kira 5,000 penerima vaksin yang datang ke pusat ini setiap hari dan kami memastikan semua tetamu diberi layanan baik setibanya mereka ke sini.
“Kami juga mengambil inisiatif untuk memberikan sedikit hadiah kepada golongan bapa hari ini. Petugas barisan hadapan pula meluangkan masa dan menyambut kedatangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Menurut Mala, pihaknya turut menghargai petugas barisan hadapan terdiri daripada pasukan perubatan pakar profesional yang memainkan peranan penting dan komited untuk memastikan semua penerima vaksin layak dan selesa ketika mendapatkan suntikan.

“Terima kasih khas untuk semua wira iaitu petugas barisan hadapan kami yang banyak berkorban masa dalam melakukan tugas. Belas ihsan dicurahkan setiap hari dihargai, dedikasi anda dikagumi dan layanan kepada semua masyarakat memberi perubahan dalam kehidupan orang lain,” katanya.
Sementara itu, beberapa bapa yang dilihat di PPV termasuk Arivom Manasivaya, 53, yang datang bersama isterinya mengakui mempunyai pengalaman menyenangkan.
Arivom berkata, dia berasa senang dengan proses yang lancar dan pantas untuk vaksinasi.
Seorang lagi bapa, Ramly Hamad, 61, turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat kerana membuat lawatannya mudah dan tidak dapat dilupakan.

Penerima vaksin Khoo Chin Hock, 55, pula mengakui sedikit cemas sebaik tiba di PPV bersama isteri dan anak perempuannya.

Bagaimanapun, katanya, perasaan cemas bertukar menjadi kagum dengan proses pantas dan akhirnya pulang dengan wajah gembira selepas menerima suntikan vaksin.-MT