GPMS tolak tawaran ‘guru one-off’ untuk graduan bukan pendidikan

0
71
Datuk Syed Anuar Syed Mohamad

CYBERJAYA – Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan menolak cadangan pengambilan graduan bukan bidang pendidikan untuk mengisi tawaran guru secara one-off yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Presidennya Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, cadangan itu mungkin boleh dipertimbangkan sekiranya calon-calon diberikan kursus terlebih dahulu dengan modul khas seperti Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP).

Selain itu GPMS juga menolak pengambilan guru yang mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC),
sebaliknya perlu terlebih dahulu mengikuti program sebagaimana dilaksanakan Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada siswazah bukan bidang pendidikan, termasuk siswazah lepasan luar negara.

“Alumni GPMS faham dengan masalah kekurangan guru khasnya di Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor namun tidak akan berkompromi dalam apa jua perkara yang boleh menjejaskan kualiti guru disebabkan tidak mendapat latihan dan pendedahan secukupnya sebelum melaksanakan pengajaran di bilik darjah.

“Apa sahaja keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) mestilah berpaksikan kepada usaha memastikan generasi pewaris diberikan pelajaran terbaik oleh guru-guru terbaik dan terlatih,” katanya menerusi kenyataan.

Menteri Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin sebelum ini mengumumkan KPM akan membuat pengambilan khas guru secara ‘one-off’ membabitkan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41, bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara, terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

Beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan baru-baru ini memberi cadangan supaya pengisian jawatan guru itu diberi keutamaan kepada graduan dari bidang pendidikan yang masih belum mendapat tempat dalam perkhidmatan.

Keutamaan itu dirasakan wajar bagi memanfaatkan sepenuhnya kemahiran dan keupayaan mereka dalam bidang pendidikan berbanding jika pengambilan dibuka secara umum.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here