
ABU DHABI- Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan hanya membenarkan individu yang telah menerima vaksin untuk pergi ke beberapa kawasan awam di negara itu bermula 20 Ogos depan.
Menurut laporan agensi, tarikh berkenaan dipilih bagi memberikan lebih banyak masa kepada warganegara UAE untuk mendapatkan vaksin bagi memberi perlindungan menentang jangkitan Covid-19.
Antara kawasan awam itu termasuk sekolah, universiti, taska, pusat membeli belah, restoran, gimnasium, muzium, pusat peranginan dan semua kedai runcit kecuali yang menjual barang keperluan seperti pasar raya dan farmasi.
Bagaimanapun, keputusan berkenaan tidak terpakai kepada rakyatnya yang mendapat pengecualian dan juga individu berusia 15 tahun ke bawah.