Hishammuddin tidak sertai mesyuarat ASEAN-China kerana jalani kuarantin

0
122
Hishammuddin Tun Hussein yang dikenalpasti sebagai salah seorang kontak rapat individu positif Covid-19.

CYBERJAYA – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak akan menyertai Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN selepas disahkan menjadi kontak rapat individu positif Covid-19.

Beliau dijadualkan menghadiri mesyuarat yang diadakan di Chongqing, China itu esok.

Pengesahan mengenainya dibuat oleh Wisma Putra dan menerusi ciapan Hishammuddin di Twitter hari ini.

“Saya telah dikenalpasti oleh @KKMPutrajaya sebagai kontak rapat kepada individu yang disahkan positif #COVID19.

“Walaupun kedua-dua ujian PCR saya negatif, namun saya tetap akan jalani kuarantin wajib seperti diarahkan KKM,” katanya.

Sehubungan itu, Wisma Putra memaklumkan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN itu akan diwakili oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Wisma Putra turut memaklumkan Hishammuddin akan menangguhkan lawatan kerja ke Mesir, Kuwait dan Qatar.

Hishammuddin sebelum ini dilaporkan akan menghadiri persidangan dengan rakan sejawatnya, Wang Yi untuk turut sama membincangkan isu pencerobohan ruang udara oleh tentera udara China baru-baru ini.

Pada 31 Mei lalu, sebanyak 16 pesawat milik Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) dikesan memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (MMZ), dan Tentera Udara Diraja Malaysia bertindak menempatkan pesawat tempurnya dan Malaysia mengeluarkan nota diplomatik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here