Ibu dan bapa dijemput Allah, kami terkurung kerana Covid-19

0
412
Achmad Annur Iqbal Nasir bersama Allahyarhamah Normah Md Hashim (tengah) pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

KEHILANGAN kedua ibu-bapa yang dijemput Maha Pencipta sudah pasti menjadi berita paling menyayat hati bagi anak-anak dan setiap ahli keluarga.

Pemergian insan yang banyak berbakti dan berjasa itu membawa seribu satu noktah kepada banyak perkara. Perpisahan yang meragut kunci kebahagian keluarga. Tanpa mereka hilanglah segala gurau senda, dan hilai ketawa.

Begitulah pengalaman memilukan dilalui oleh Ketua Pegawai Operasi Malakat Fresh, Iqbal Ibrahim yang kehilangan ibu dan bapanya pada minggu lalu.

Ibunya, Normah Md Hashim, 58 dijemput Ilahi pada hari Jumaat 18 Jun lalu akibat jangkitan paru-paru selepas sebulan bersabung nyawa dalam koma.

Enam hari berikutnya, (24 Jun 2021), Iqbal menerima berita kematian bapanya, Nasir Ibrahim, 66, yang merupakan abang ipar kepada Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim.

Lebih memilukan, Iqbal dan dua adiknya tidak berpeluang mengurus dan mengiringi kedua-dua jenazah orang tuanya untuk dikebumikan akibat penangan Covid-19.

Dia bersama adik-beradik dan anak saudara tidak berpeluang untuk melawat jenazah kerana masih dalam tempoh kuarantin apabila disahkan positif Covid-19 pada 17 Jun lalu.

Iqbal berkata, pemergian ibu dan bapa dalam tempoh kurang seminggu itu berlaku secara kebetulan ketika dia dan ahli keluarga sedang dikuarantin.

“Ibu meninggal selepas sebulan koma di Hospital Serdang. Dia disahkan mendapat jangkitan paru-paru apabila kerap mengadu sakit perut selepas menjalani satu rawatan urutan badan.

“Allah lebih sayangkan dia dan sudah tetapkan kami tidak dapat berjumpa untuk kali terakhir.

“Ujian Covid-19 sebanyak 4 kali telah dilakukan ke atas Allahyarhamah tapi semua negatif. Begitu juga dengan arwah bapa.

“Mereka semua negatif Covid-19 tapi kami yang tidak dapat melawat kerana sedang dalam kuarantin lagi,” katanya.

Menurut Iqbal, jenazah ibu dan bapanya dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Surau Assakinah di Taman Putra Perdana.

Walaupun sedih dengan ketentuan itu, beliau bersyukur kerana diberikan kesempatan untuk menghabiskan masa bersama bapanya yang sebelum ini tinggal di Johor.

“Arwah bapa saya sebelum ini tinggal di Johor. Sejak enam tahun lalu sempatlah saya ambil dia untuk tinggal bersama saya di Putra Perdana ini,” katanya.

Iqbal bersama Allahyarham bapanya, Nasir Ibrahim yang meninggal dunia kelmarin 24 Jun 2021.

Berita kematian itu juga katanya memberi kesedaran betapa kerdilnya manusia sebagai hamba Allah dan betapa janji Allah mengenai ajal itu benar.

“Bapa meninggal dunia dalam keadaan yang sihat dan baik. Dia hanya tersedak air, terbatuk dan terus ‘pergi’.

“Dia memang ada angin ahmar tapi selama ini sihat dan boleh bergerak ke mana-mana. Dia boleh keluar rumah untuk membeli sarapan sendiri,” katanya ketika dihubungi Malakat Tribune.

Iqbal berkata, kejadian itu diharap dapat dijadikan iktibar kepada semua untuk memanfaatkan segala peluang yang ada untuk berbakti kepada kedua orang tua dan menghargai mereka sementara mereka masih bernyawa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here