
PULAU PINANG – Feri yang sememangnya sudah menjadi ikon Pulau Pinang akan diberi ‘wajah baharu’ apabila lima buah feri lama itu akan diubah suai menjadi muzium terapung, feri pelancongan dan restoren terapung.
Langkah ini merupakan inisiatif Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) lima buah feri itu terus muncul di perairan Pulau Pinang.
“Saya percaya feri-feri ini akan menjadi produk pelancongan yang penting dan tempat percutian menarik di Pulau Pinang,” kata Pengerusi SPPP, Datuk Tan Teik Cheng.
Kata beliau lagi, lima buah feri itu akan diserahkan kepada syarikat yang berkelayakan mulai 1 Julai ini bagi diubah suai menjadi sebuah muzium terapung, dua feri pelancongan dan dua restoran terapung.
“Banyak cadangan telah diterima pada 19 Mac (lalu). Setelah dinilai oleh beberapa jawatankuasa SPPP, Mesyuarat Lembaga Pengarah SPPP pada pertengahan bulan Jun
telah meluluskan syarikat yang berkelayakan untuk mengubah suai dan mengendali lima feri ikonik (itu).
“SPPP dan syarikat yang berjaya akan menandatangani kontrak untuk tempoh 10 tahun dengan opsyen disambung selama 5 tahun lagi,” kata Tan.
Beliau turut menambah, syarikat-syarikat berkelayakan diberi tempoh tiga hingga enam bulan untuk memperbaiki dan mengubah suai feri-feri ikonik tersebut sebelum beroperasi
sebagai pendorong sektor pelancongan di Pulau Pinang.