Indonesia lulus Sinovac untuk suntikan 12 hingga 17 tahun

0
12
Joko Widodo

JAKARTA – Indonesia akan memulakan program vaksinasi Covid-19 kepada penduduk berusia 12 hingga 17 tahun menggunakan vaksin Sinovac Biotech tidak lama lagi.

Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, keputusan itu dibuat setelah Agensi Makanan dan Ubat Negara (BPOM) meluluskan penggunaan kecemasan vaksin jenis itu untuk individu berusia 12 tahun.

Katanya, BPOM membenarkan penggunaan kecemasan untuk vaksin keluaran China itu dan menyasarkan proses vaksinasi dapat disegerakan.

“Jadi vaksinasi untuk kanak-kanak pada usia itu dapat dimulakan dengan segera,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyatakan keupayaan negara memberi suntikan vaksinasi kepada 1.3 juta orang, berbanding sasarannya seramai sejuta individu mulai Julai.

Kadar pemberian vaksin pada bulan Jun adalah sebanyak 700,000 dos sehari.

Jokowi turut menyasarkan sasaran dua juta individu divaksinasi setiap hari pada bulan Ogos.

Indonesia berdepan lonjakan kes jangkitan COVID-19 dalam beberapa minggu terakhir dan mencatat rekod baharu dengan lebih 21,000 kes sehari pada hujung minggu.

Peningkatan mendadak itu dipercayai berpunca daripada sikap kebanyakan rakyatnya yang ingkar dengan larangan perjalanan sempena Hari Raya Aidilfitri pada Mei, dengan pulang ke kampung dan pergi ke tempat pelancongan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here