Inisiatif Cerdik: 12,887 komputer riba sudah diagihkan, 137,000 lagi diagih Jun, September ini

0
91
Radzi Jidin

CYBERJAYA – Kerajaan melalui Inisiatif Cerdik sehingga kini telah mengagihkan sebanyak 12,887 unit komputer riba daripada keseluruhan peruntukan 500,000 unit kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, agihan itu melibatkan 95 buah sekolah di seluruh negara dengan sasaran 40,000 unit lagi diagih selewat-lewatnya Jun ini manakala baki sebanyak 96,000 unit pada September tahun ini.

“Kita akan iktiarkan untuk semua peranti alat bantu belajar online ini diedar kepada semua pada akhir bulan September ini.

“Kita sedar keperluan ibu-bapa yang mahukan peranti ini diedar secepat mungkin tetapi perkara ini dipengaruhi oleh situasi pandemik ketika ini iaitu faktor bekalan,” katanya pada sidang media khas pengoperasian sekolah secara maya hari ini.

Kerajaan dalam Belanjawan 2021 mengumumkan Inisiatif Cerdik kendalian Yayasan Hasanah itu yang memperuntukan bantuan 500,000 unit komputer riba, tablet dan data Internet untuk keluarga berpendapatan rendah melalui norma baharu pembelajaran dalam talian.

Pelaksanaan projek perintis itu disertai oleh 13 syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) melalui sumbangan sebanyak RM150 juta ke Tabung Cerdik untuk pembelian peranti tersebut.

Radzi berkata, selain bantuan melalui Inisiatif cerdik, usaha kerajaan untuk memperluaskan kemudahan internet dan jalur lebar turut dilaksanakan melalui program MyDigital melibatkan beberapa kementerian.

“KPM sentiasa berusaha untuk memastikan semua murid mendapat akses pembelajaran secara saksama tanpa mengira keberadaan atau latar belakang sosioekonomi mereka.

“Untuk murid yang tidak mempunyai akses kepada capaian internet atau peranti yang sesuai, pembelajaran dilaksanakan melalui siaran DidikTV di TV Pendidikan yang ditayang 15 jam setiap hari.

“Selain itu kita juga ada di saluran TV Okey dan Tutor TV Astro selama dua hingga empat jam sehari,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here