Isu ivermectin: Beri peluang dan ruang pada KKM jalankan ujian dahulu

0
245

CYBERJAYA – Pendokong ubat ivermectin perlu memahami proses yang perlu dijalankan sebelum sesuatu ubatan itu disahkan penggunaannya dalam rawatan.

Untuk rekod, terdapat desakan di dalam negara supaya Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan ubatan anti-parasit itu dalam rawatan pesakit Covid-19, atas alasan ia turut digunakan di luar negara.

Sebagai badan yang bertanggung jawab terhadap hal ehwal kesihatan dalam negara, KKM sudah pasti akan melakukan yang terbaik untuk semua.

Menurut seorang pakar kesihatan, Dr Khor Swee Kheng, pendokong ivermectin sebagai ‘ubat ajaib’ yang dapat merawat dan mencegah Covid-19 perlu memahami dan menghormati proses yang perlu dilalui oleh sesuatu ubatan sebelum ia diterima sebagai bahan rawatan.

“Buat masa ini, belum ada bukti klinikal yang kukuh yang menunjukkan ivermectin boleh merawat Covid-19,” kata Dr Khor dalam satu mesej ringkas di Whatsapp, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan baru-baru ini mengumumkan, pihak KKM telah memulakan ujian klinikal menggunakan ivermectin ke atas pesakit Covid-19 berisiko tinggi.

Kajian yang dinamakan sebagai I-TECH itu dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh Perak, melibatkan 500 pesakit dari kumpulan berisiko tinggi yang berumur 50 tahun ke atas.

I-TECH dijangkakan akan selesai pada September ini.

“KKM perlu bertanggung jawab di atas segala keputusan yang dibuat, kerana ia melibatkan kepentingan awam.

“Jadi, beri peluang kajian ini disiapkan dahulu sebelum kita membuat sebarang tafsiran,” kata Dr. Khor lagi.

Ivermectin boleh didapati dalam tiga bentuk – tablet, krim dan losyen – dan digunakan dalam rawatan anti-parasit.

Jika diambil dalam dos yang salah, ia boleh menyebabkan masalah pernafasan, bengkak pada lidah dan rongga tekak, dan ruam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here