
CYBERJAYA – Rakyat tidak boleh berasa selesa walaupun kes kembali menurun, kata Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata, ia kerana trend jangkitan Covid-19 di Malaysia ketika ini masih tidak stabil dan prosedur operasi standard (SOP) per;u dipatuhi.
Katanya, amalan pematuhan SOP pada setiap masa amat penting kerana boleh mengurangkan penularan jangkitan sekali gus melandai lengkuk Covis-19.
“Justeru, saya berharap semua pihak memainkan peranan termasuk meningkatkan kawalan kendiri untuk keselamatan dan kesihatan bersama,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memaklumkan masih ada lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Ia melibatkan dua lokaliti di Kunak, Sabah iaitu Kampung Pangi Hujung dan Kampung JKR Lama, yang berkuat kuasa pada 24 Jun sehingga 7 Julai 2021,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 91,112 pemeriksaan semalam.
“Ia melibatkan 4,194 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 19,653 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Semalam, 959 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 923 individu dikompaun manakala 36 lagi direman,” katanya.