Jaringan penalti Safawi hadiahkan kemenangan berharga untuk Harimau Malaya

0
274
Safawi Rasid berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan antara Malaysia menentang Thailand sebentar tadi

DUBAI – Selepas tewas dua perlawanan berturut-turut, akhirnya kemenangan yang dicari-cari skuad Harimau Malaya tiba jua dengan menewaskan pasukan Thailand 1-0 dalam aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebentar tadi.

Jaringan penalti oleh Safawi Rasid pada minit ke-52 sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata kepada skuad kebangsaan yang sebelum ini tewas dua perlawanan berturut-turut kepada Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Melalui kemenangan itu juga membolehkan skuad Harimau Malaya menamatkan kempen kelayakan itu di kedudukan ketiga dengan 12 mata.

Meskipun masih menurunkan penyerang naturalisasi Guilherme de Paula, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu tampil dengan lima muka baharu sebagai kesebelasan utama negara.

Kemasukan pemain muda Arif Aiman, Akhyar Rashid dan Nazmi Faiz Mansor di bahagian tengah ternyata memberikan impak berlainan berbanding perlawanan terdahulu.

Gandingan Akhyar bersama pemain yang pertama kali dimasukkan dalam kempen kelayakan tersebut, Syahmi Safari berjaya menghasilkan banyak percubaan-percubaan menarik pada separuh masa pertama permainan.

Masuk separuh masa kedua, Cheng Hoe membuat pertukaran awal dengan mengeluarkan Brendan Gan dan Arif untuk digantikan dengan Safawi dan Syafiq Ahmad.

Kemasukan kedua-dua pemain JDT itu berjaya menambah sengat di barisan hadapan negara sehingga berjaya menghasilkan gol tunggal untuk skuad negara.

Pujian juga harus diberikan kepada penjaga gol, Khairulazhan Khalid yang berjaya menampilkan aksi kemas dengan menafikan banyak peluang untuk pasukan Gajah Putih itu meskipun pertama kali diturunkan dalam kempen kelayakan tersebut.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here