
KUALA LUMPUR – Pemberian vaksin Covid-19 negara semalam merekodkan jumlah tertinggi dengan 197,963 suntikan melibatkan 142,890 penerima suntikan dos pertama dan 55,073 penerima dos kedua.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah itu menghampiri sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang ditetapkan kerajaan iaitu 200,000 dos sehari.
Beliau berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan penerima yang telah melengkapkan dua dos vaksin seramai 1,413,039 individu manakala 3,275,194 individu telah menerima dos pertama.
“Jumlah terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini adalah sebanyak 4,688,233,” katanya melalui ciapan di Twitter pagi ini.
Adham berkata, lima negeri yang mencatatkan penerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 180,605; diikuti Sarawak (159,920); Johor (135,621); Perak (135,435) dan Kuala Lumpur (127,174).
Sementara itu katanya, seramai 13,811,642 pendaftaran direkodkan semalam yang merupakan peningkatan pendaftaran sebanyak 59 peratus.
Selangor menjadi negeri tertinggi yang merekodkan jumlah pendaftaran iaitu sebanyak 3,510,783 diikuti Johor (1,723,619), Sarawak (1,321,651) dan Kuala Lumpur (1,167,136).
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan menyasarkan lebih 200,000 orang akan menerima suntikan vaksin Covid-19 sehari bermula Julai ini dan kemudian ditingkatkan kepada lebih 300,000 orang sehari mulai Ogos.