
CYBERJAYA – Kadar kemiskinan Malaysia meningkat pada kadar 2.8 peratus daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada 8.4 peratus tahun lalu disebabkan oleh pandemik Covid-19
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penularan wabak yang menjejaskan pendapatan itu menyebabkan ramai terdedah kepada kemiskinan terutama dalam kalangan B40 dan berpendapatan rendah.
Bagaimanapun secara umumnya, kadar kemiskinan di negara ini dilaporkan masih terkawal apabila kerajaan berjaya menguruskan pendapatan dan meningkatkan kualiti kehidupan.
Beliau berkata demikian pada ucapan penutup di Webinar Matlamat Pembangunan Lestari Malaysia (SDGs) hari ini.
Menurut Mustapa, berdasarkan metodologi garis kemiskinan tahun 2019 (PGK 2019), kadar kemiskinan negara turun kepada 5.6 peratus pada tahun 2019 daripada 7.6 peratus pada tahun 2016.
Katanya, antara yang menjadi cabaran dalam agenda kerajaan mengurangkan kemiskinan dalam negara adalah peningkatan beban kesihatan, kekurangan zat makanan, jurang digital, ketidaksamaan, alam sekitar
Bagaimanapun katanya, beberapa aspek penting kehidupan seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan kemudahan asas kini berjaya dipertingkatkan dan berada pada tahap yang baik.
Sehubungan itu, beliau akan menubuh dan mempengerusikan jawatankuasa Lingkaran Kemiskinan yang terdiri daripada perwakilan pemimpin, sektor swasta, masyarakat dan ahli akademik untuk merumuskan strategi terbaik dalam menangani kemiskinan dalam tempoh wabak.
Lingkaran Kemiskinan akan dikoordinasikan oleh Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Hal Ehwal Ekonomi Perdana Menteri.
Mustapa juga mengatakan Malaysia telah menghantar Kajian Nasional Sukarela 2021 (VNR 2021) ke Forum Politik Tahap Tinggi mengenai Pembangunan Lestari di PBB, yang akan diadakan pada bulan Julai.