Kapal pengawal pantai China dikesan ceroboh perairan negara di Beting Patinggi Ali

0
935
Kapal pengawal pantai milik China dikesan di kawasan yang juga dikenali sebagai Luconia Shoals, Beting Patinggi Ali

KUCHING – Sebuah kapal pengawal pantai milik China didapati menceroboh kawasan perairan Malaysia di luar Miri pada Jumaat lalu.

Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Miri, Kapten Md Fauzi Othman, agensi itu menerima laporan mengenai kehadiran kapal China berhampiran Beting Patinggi Ali daripada nelayan tempatan.

“Aset dari APMM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengawasi keadaan dengan teliti,” katanya memetik laporan Mstar hari ini.

Tambah beliau, aset tersebut dikerahkan dekat Beting Patinggi Ali pada setiap masa untuk memantau kawasan itu dan menjaga kedaulatan negara.

Kawasan itu yang juga dikenali sebagai Luconia Shoals, Beting Patinggi Ali terletak kira-kira 84 batu nautika (155 kilometer) dari perairan pantai Miri.

Beting Patinggi Ali adalah gugusan batu karang yang terletak di perairan utara Sarawak dan berada di dalam zon ekonomi eksklusif (ZEE) Malaysia.

Lokasi kapal pengawal pantai China yang dikesan menceroboh perairan negara

Gugusan batu karang itu antara kawasan yang dituntut oleh China melalui tuntutan 9-Dash Line di Laut China Selatan.

Pada Julai tahun lalu, Kerajaan Malaysia menegaskan pendirian untuk menolak tuntutan China di perairan itu melalui surat perwakilan Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pencerobahan tersebut merupakan yang kedua selepas tentera udara China dikesan mencerobohi ruang udara Malaysia baru-baru ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here