Keberkesanan PdPR semakin baik

0
123
Radzi Jidin

CYBERJAYA – Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin yakin pelaksanan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) ekoran penularan pandemik Covid-19 ketika ini bertambah baik dan akan terus dioptimumkan.

Secara keseluruhan katanya, pelaksanaan itu sudah jauh meningkat jika dibandingkan dengan pelaksanaan sejak kali pertama diperkenalkan pada Mac 2020.

“Setahun berlalu, masing-masing telah terbiasa dengan kaedah dan pendekatan ini dan kita lihat keberkesanannya meningkat dari semasa ke semasa.

“Misalnya dalam konteks akses kepada kandungan yang disediakan para guru. Ada yang melaksanakan PdPR secara dalam talian tanpa banyak masalah untuk murid mengikutinya.

“Ada yang lakukan melalui WhatsApp dan sebagainya,” katanya pada sidang media khas pengoperasian sekolah secara dalam talian hari ini.

Selain penambahbaikan melalui cabaran dan pengalaman yang dilalui para guru dan murid, pihaknya di kementerian turut mengambil berat pandangan dan saranan untuk meningkatkan keberkesanan.

“Keutamaan nombor satu kita adalah pada konteks kesesuaian pelaksanaan kepada guru dan murid,”katanya.

Selain itu menurut Radzi, sebarang pertanyaan mengenai pelaksanaan PDPR oleh ibu bapa kepada pihak sekolah sangat dialu-alukan oleh pihak kementerian.

“Di peringkat kementerian kita mahu supaya sekolah mengambil kira maklumat daripada ibu bapa untuk kita tambah baik PDPR sepanjang tempoh ini dan akan datang,” katanya.

Menjawab soalan keperluan membuka kelas secara bersemuka untuk murid-murid berkeperluan khas, beliau menjelaskan perkara itu tertakluk kepada bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kerajaan sedar cabaran yang terpaksa dilalui oleh ibu-bapa yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas. Kita yakin guru-guru dan ibu bapa akan buat yang terbaik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here