
CYBERJAYA – Bermula esok, premis kedai makan dan restoran dibenarkan beroperasi bermula pukul 6 pagi hingga 10 malam.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira rayuan dan pandangan peniaga.
“Sebelum ini, operasi melibatkan premis kedai makan dan restoran hanya dibenarkan bermula pada pukul 8 pagi sehingga pukul 8 malam.
“Setelah mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan, kerajaan bersetuju menukar waktu operasi premis yang menjual makanan bermula pukul 6 pagi hingga 10 malam berkuat kuasa 28 Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, premis makanan hanya dibenarkan beroperasi selama 12 jam iaitu bermula 8 pagi hingga 8 malam.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memaklumkan sebanuak 798 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 762 individu dikompaun, manakala 24 direman dan 12 dijamin.