Kerajaan digesa tangguh sewa premis kerajaan, PPR

0
48
Ahmad Maslan

CYBERJAYA – Semua bayaran sewa premis-premis milik kerajaan seperti premis jualan, Arked MARA dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) wajar ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan melalui ciapan di Twitternya berkata, selain bayaran sewa, pembayaran semula pinjaman melalui agensi kerajaan seperti Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia dan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Malaysia (PTPTN) wajar turut dipertimbangkan.

“Beri bantuan tunai kepada (golongan) B40 juga kepada (mereka) yang hilang pendapatan. Beri kerja sementara kepada graduan yang menganggur,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa beliau akan mengumumkan bantuan lebih menyeluruh untuk meringankan beban rakyat berikutan lanjutan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai esok.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa berusaha memastikan kira-kira 12 juta individu atau isi rumah di negara ini yang terjejas dengan penularan wabak Covid-19, menerima bantuan dan sokongan sewajarnya dalam mendepani saat-saat yang sukar ketika ini.

Beliau dijangka mengumumkan bantuan tersebut esok atau Selasa.

Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, kerajaan diharap dapat mengurangkan bayaran tol
di semua lebuh raya serta menambah subsidi petrol agar dapat mengurangkan harga di pasaran.

“Tambah senarai barang kawalan supaya harga turun, subsidi bil elektrik, air dan pembentungan. Vaksinasi dipantaskan, kurangkan segera stress (tekanan) rakyat,” katanya.

Beliau juga menyambut baik langkah kerajaan yang bercadang memperkenalkan semula inisiatif moratorium pinjaman bank serta i-Sinar dan i-Letari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Moratorium automatik pinjaman bank wajar diberi kepada B40, M40 dan PKS, IKS. Kerajaan tak keluar duit, hanya arahkan bank.

“Kelar KWSP atas nama apa pun kerajaan tak keluar duit. Hanya arahkan KWSP untuk luluskan.

“Bila PKP dilanjuta tentu jeritan rakyat semakin nyaring,” ciap beluam dengan tanda pagar #EkonomiRakyat.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini membayangkan kerajaan akan melaksanakan semula insiatif moratorium, i-Sinar dan i-Lestari sepertimana dilakukan tahun lalu.

Beliau berkata, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan masa kini merupakan masa tepat untuk kerajaan meneruskan inisiatif tersebut.

Katanya, inisiatif sebegini adalah penting bagi membantu rakyat dan perniagaan yang sedang berdepan pandemik Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here