Kerajaan negeri Melaka diminta siasat pemberian vaksin

0
292
Adly Zahari

MELAKA – Kerajaan negeri digesa menyiasat dakwaan ‘penyelewengan’ pemberian vaksin Covid-19 oleh syarikat milik kerajaan negeri itu (GLC) yang dikatakan mengutamakan kenalan dan orang ternama.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari mendakwa, terdapat laporan yang mendakwa vaksin diberikan kepada individu tidak sepatutnya seperti orang kenamaan (VIP) dan ‘kawan-kawan’.

“Saya harap kerajaan negeri Melaka siasat kaedah pemberian vaksin dilaksanakan oleh GLC negeri. Ada laporan menyatakan ia diberikan kepada VIP dan ‘kawan-kawan’.

“Harus diingat bahawa vaksin sahaja tidak boleh melawan Covid-19 tetapi proses vaksinasi itu yang penting supaya ia adil dan saksama kepada semua.

“Keutamaan harus diberikan kepada mereka yang terdedah kepada Covid 19,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil di laman sosial Facebooknya hari ini.

Sebelum ini, Adly yang juga bekas Ketua Menteri turut membangkitkan berkenaan peratusan vaksinasi yang mana hanya sekitar 4.72 peratus rakyat di negeri ini divaksin dan angka itu berkemungkinan jauh lebih rendah jika mengambil kira jumlah sebenar penduduk pada masa kini.

Beliau turut mempersoalkan berkenaan jumlah pusat pemberian vaksin (PPV) yang beroperasi adalah kurang daripada sepatutnya.

Perkara itu mendapat respons balas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman yang menjelaskan, jumlah penerimaan dos vaksin yang rendah daripada Kementerian Kesihatan menyebabkan proses vaksinasi di negeri ini perlahan.

Kata Rahmad, Melaka hanya menerima 84,380 dos yang mana sebanyak 46,042 dos digunakan untuk petugas barisan hadapan pada fasa satu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here