Kerajaan terima RM336 juta dari Deloitte PLT

0
61
Gambar Hiasan

CYBERJAYA – Kerajaan telah menerima bayaran sebanyak RM336 juta yang telah dideposit ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset oleh Deloitte PLT.

Kementerian Kewangan berkata, wang tersebut adalah sebahagian daripada penyelesaian berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

“Sehingga kini, akaun amanah berkenaan – di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara – telah menerima sebanyak RM16.386 bilion yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.

“Jumlah di dalam akaun amanah itu akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC,” kata kementerian itu dalam satu kenyataannya hari ini.

Menurut kementerian itu lagi,  baki tersebut tidak termasuk jumlah penyelesaian sebanyak RM2.83 bilion yang akan diterima dari Kumpulan Ambank dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, kementerian itu memaklumkan  kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.54 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion hutang SRC.

“Setakat 31 Mei 2021, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/ keuntungan/ faedah bagi bon, Sukuk dan pinjaman berjangka, adalah sebanyak RM39.66 billion (1MDB) dan RM2.57 bilion (SRC),” ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, baki semasa Akaun Amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun 2021 dan 2022 sahaja.

“Setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, kerajaan masih perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokong oleh Kerajaan melalui Jaminan Kerajaan dan Surat Sokongan semasa hutang-hutang ini diterbitkan.

“Usaha pemulihan aset 1MDB dan SRC oleh Kerajaan pada masa ini memfokuskan kepada pihak-pihak yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC semasa menjalankan tanggungjawab mereka, sama ada melalui penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan transaksi 1MDB dan SRC.

“Ini termasuk mereka yang telah menerima wang SRC yang disamarkan sebagai aktiviti kebajikan (CSR),” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here