Kertas siasatan terhadap Tajuddin diserah kepada Jabatan Peguam Negara

0
75

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

CYBERJAYA – Polis telah menyerahkan kertas siasatan terhadap bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, ia susulan pihaknya telah selesai merakam keterangan semua individu berkaitan.

“Kita menghantar kertas siasatan kepada AGC, minggu lalu, selepas proses mengambil kenyataan dilakukan. AGC akan memutuskan tindakan lanjut,” katanya yang memetik laporan Berita Harian hari ini.

Tajuddin sebelum ini disiasat selepas didakwa tidak memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media mengenai kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT), baru-baru ini.

Selain itu, polis turut merekod percakapan tiga kakitangan Prasarana dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, untuk melengkapkan kertas siasatan.

Pada sidang media 25 Mei lalu, Ahli Parlimen Pasir Salak itu dilihat hanya memakai pelindung muka tanpa pelitup muka.

Berikutan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here