
CYBERJAYA – Kes baharu positif Covid-19 dalam negara turun daripada 5,911 kepada 5,293 kes dalam tempoh 24 jam yang lalu menjadikan jumlah terkini kes penularan wabak itu kini berjumlah 696,408,
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penularan kes yang dikesan itu melibatkan 5,286 kes tempatan dan 7 kes import.
Beliau berkata, jumlah terbaharu itu menjadikan kes aktif di Malaysia kini sebanyak 63,815 dengan 880 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 454 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Dalam tempoh itu juga sebanyak 60 kematian direkodkan menjadikan jumlah terkumpul kematian akibat Covid-19 kini 4,408 kes.
“Jumlah kes sembuh pula adalah 5,941 menjadikan jumlah kumulatif 628,185 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, Selangor kekal melaporkan kes tertinggi iaitu 1,680 kes diikuti Negeri Sembilan (693), Sarawak (661), Johor (627), Kuala Lumpur (379), Perak (205), Melaka (183), Kedah (170), Kelantan (167), Sabah (163), Labuan (156) dan Pulau Pinang (114).
Menurut beliau, tiga negeri dan wilayah melaporkan kes bawah 100 iaitu Pahang (77), Terengganu (12), Putrajaya (empat) dan Perlis (dua).
“Jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan adalah 696,408,” katanya.