Kibar bendera putih macam kalah perang – Pas

0
324
Rosli Abdul Jabar

KUANTAN- Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar menolak kempen mengibar ‘bendera putih’ bagi mereka yang memerlukan bantuan akibat terputus bekalan makanan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang digerakkan oleh nitizen sejak semalam.

Rosli dalam kenyataan di Facebook miliknya menyifatkan tindakan itu sebagai ‘kalah dalam peperangan’ dan tidak sewajarnya dilakukan kerana masih terdapat cara lain untuk mendapatkan bantuan.

“Kita tidak setuju dengan cadangan ini iaitu kibar benda putih, jika kehabisan makanan, banyak kaedah lain yang boleh digunakan.

“Jangan angkat bendera putih kerana tindakan ini seperti orang kalah perang, sedangkan kita masih ada kekuatan, kibarkan panji Islam dengan kibaran syiar Islam sebagai agama yang saling membantu,” katanya hari ini.

Kempen yang diwar-warkan oleh nitizen semalam mengajak orang ramai yang terputus bekalan makanan atau memerlukan bantuan mengibar bendera putih sebagai simbolik memerlukan bantuan atau ‘S-O-S’.

Kempen kibar bendera putih yang digerakkan nitizen sejak semalam.

Tindakan itu juga difahami sebagai ‘suara’ yang perlu didengari oleh masyarakat setempat, ahli komuniti dan pihak-pihak yang prihatin untuk menghulurkan bantuan.

Rosli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur bagaimanapun berpendapat, tindakan itu dikhuatiri akan menyebabkan ramai pihak mengambil kesempatan dan tidak berlaku jujur.

Selain itu katanya, tindakan yang sama juga seolah-olah membuka aib sendiri sedangkan setiap insan perlu memelihara maruah diri dan ummah.

Sebaliknya kata Rosli, sumbangan dan bantuan boleh diperolehi daripada bilik operasi bantuan dan talian operasi yang dikendalikan di setiap Parlimen dan ADUN.

“Organisasi komuniti masyarakat seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan seumpamanya disaran membuka bilik operasi bantuan untuk orang yang terputus bekalan makanan, selain menyediakan khidmat penghantaran bagi yang tiada kenderaan

“Begitu juga dengan masjid atau surau mesti berperanan sebagai pusat bantuan rakyat sama ada dengan dana bantuan kerajaan, majlis agama, Pusat Zakat, dan bantuan orang ramai,” ujarnya.

Sementara itu bagi mereka yang bukan beragama Islam, bantuan juga boleh diperolehi daripada kuih, tokong atau gereja dan mana-mana pusat komuniti.

“Pastikan talian operasi diketahui oleh komuniti dengan apa jua cara sebaran. Justeru mereka yang memerlukan bantuan boleh datang atau menghubungi talian operasi.

“Saya yakin dengan cara ini kita dapat mengelakkan orang mengambil kesempatan dan tidak menjadikan rumah mereka sebagai stor menyimpan barang sumbangan,” katanya.

Rosli berkata, penduduk di Dun Tanjung Lumpur yang terputus bekalan makanan boleh menghubungi talian operasi 011-5989 7556.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here