Kilang arak ditutup pun ada yang bangkang

0
572
Aminuddin Yahaya

CYBERJAYA – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menyelar tidakan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) yang mempersoalkan larangan operasi terhadap kilang-kilang arak sepanjang tempoh total lockdown.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya berkata, tindakan MICCI itu memberi gambar seolah-oleh wujud kepentingan tertentu yang diterima oleh persatuan itu dalam isu berkenaan.

Beliau berkata, isu operasi kilang arak yang didakwa didiskriminasi tidak sepatutnya timbul kerana sektor itu ‘jauh’ menyimpang daripada perkhidmatan perlu atau essential service.

“Mereka persoalkan kenapa kilang arak tidak dimasukkan dalam kategori perkhidmatan ‘strategically essential’.

“Ini suatu kenyataan yang sangat berani yang menimbulkan pelbagai persoalan terhadap kedudukan mereka sebagai sebuah persatuan perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini mengumumkan larangan beroperasi kilang-kilang arak di seluruh negara sepanjang total lockdown.

Sedangkan kata Aminuddin, pihak-pihak yang mendesak itu sepatutnya sedar bahawa penghasilan minuman beralkohol itu bertentangan dengan tuntutan semua agama.

“Bukan sahaja ianya perlu diberhentikan operasi ketika ‘lockdown’ malah kewujudannya adalah sesuatu yang tidak wajar di Malaysia.

“Lebih-lebih lagi Malaysia adalah sebuah negara Islam, dan statusnya itu diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan dan seluruh komuniti antarabangsa,” katanya.

Selain itu katanya, tiada pihak yang layak membela industri arak untuk beroperasi ketika ini menggunakan alasan industri itu telah banyak menyumbang kepada kutipan cukai negara.

“Ini bukan soal cukai tetapi demi kesihatan dan keselamatan yang melibatkan puluhan ribu pekerja dan kajian menunjukkan kluster paling utama merebaknya Covid-19 ini adalah dari kluster kilang,” katanya

Sehubungan itu, Aminuddin menggesa syarikat-syarikat arak di Malaysia supaya menyokong penutupan sementara itu.

“Janganlah pentingkan keuntungan semata-mata dan mula berfikir secara rasional dan bertanggungjawab.

“Janganlah perasan diri kalian ‘special’ sangat, padahal sebenarnya kewujudan kalian tidak dialu-alukan pun oleh majoriti rakyat Malaysia. Tolonglah sedar diri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here