Kilang elektronik diarahkan tutup, hampir 300 pekerja positif Covid-19

0
371
Notis perintah tutup sebuah kilang di Batu Berendam, Melaka yang tular dalam media sosial sejak semalam

MELAKA – Sebuah kilang elektronik di Batu Berendam, di sini diarah tutup sepenuhnya selama seminggu selepas seramai 299 pekerjanya termasuk ahli keluarga mereka didapati positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, sehubungan itu arahan penutupan itu terpaksa dilakukan serta-merta.

“Arahan penutupan serta-merta itu bagi membolehkan Jabatan Kesihatan negeri menjalankan siasatan lanjut punca penularan wabak selain mengesan kontak rapat yang pernah berhubung dengan pekerja kilang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, pusat pentadbiran kerajaan Melaka di Kompleks Seri Negeri, di sini, juga diarahkan tutup selama seminggu bermula 31 Mei lalu sehingga hari ini selepas tujuh kes positif Covid-19 dikesan di lokasi terbabit.

Katanya, penutupan itu bagi membolehkan pengesanan kontak rapat, saringan serta sanitasi dilakukan Jabatan Kesihatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri.

“Setakat ini, tujuh kes positif dikesan membabitkan enam kes di Blok Bentara (Kewangan) manakala satu lagi kes di Blok Laksamana.

“Sebanyak 178 saringan sudah dilakukan ke atas rakan sekerja dan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 terbabit.

“Bagaimanapun punca jangkitan ketujuh-tujuh kes berkenaan masih belum diketahui dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan negeri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here