Kilang topi keledar isytihar sebagai kilang PPE dikompaun RM10,000 dan diarahkan tutup

0
630
Pihak penguatkuasa menyerahkan notis kompaun kepada pemilik kilang berkenaan. Kredit gambar Kosmo! dan Harian Metro

BUTTERWORTH – Sebuah kilang kilang pembuatan topi keledar di sini yang mengisytiharkan sebagai kilang peralatan perlindungan diri (PPE) diarahkan tutup serta merta dan pemiliknya dikompaun RM10,000, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, semakan mendapati pemilik itu mengisytiharkan kilang terbabit menghasilkan PPE antaranya pakaian perubatan, pelitup muka dan sarung tangan getah.

“Namun, dalam operasi yang dijalankan in, kita mendapati kilang berkenaan menjalankan pembuatan topi keledar yang jelas menunjukkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

“Mengikut senarai MITI, pembuatan topi keledar bukan keperluan dan pemiliknya diarahkan menutup operasinya serta-merta selain dikompaun RM10,000,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Terdahulu beliau mengetuai pemeriksaan bersama sepasukan anggota polis dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dalam operasi pematuhan SOP susulan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

Pemeriksaan itu yang dilakukan ke atas 11 kilang di daerah Seberang Perai Utara (SPU) turut dibantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Dalam pada itu, katanya, operasi yang dijalankan itu mendapati kebanyakan majikan mengambil maklum mengenai kehadiran 60 peratus pekerja sahaja dibenarkan.

“Pematuhan ini termasuk juga dengan kilang yang mengisytiharkan perkara lain, tetapi buat benda lain dan dia tetap melanggar SOP,” katanya.

Dalam operasi itu, JTK turut mengeluarkan notis kepada majikan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) kerana menyediakan penginapan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here