KKM sahkan empat kes baharu varian India dikesan di Putrajaya, Kuala Lumpur

0
248
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesahkan mengesan empat kes melibatkan Variant of Concern (VOC) varian Delta (B.1.617.2) atau sebelum ini dikenali sebagai varian India di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, varian berbahaya itu masing-masing adalah melibatkan dua kes di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Beliau berkata, selain itu turut dikesan ialah varian Beta yang sebelum ini dikenali sebagai varian Afrika Selatan.

“Daripada 3 Jun sehingga 8 Jun lalu, sebanyak 23 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 yang dilaporkan di mana kesemuanya adalah VOC iaitu 19 kes varian Beta (B.1.351) dan empat kes varian Delta (B.1.617.2).

“Kes varian Beta yang telah dilaporkan adalah merangkumi lapan kes di Selangor, tiga kes di Putrajaya, masing-masing dua kes di Kuala Lumpur, Melaka, dan Kedah, serta masing-masing satu kes di Perak dan Perlis.

“Manakala empat kes baharu bagi varian Delta adalah masing-masing dua di Putrajaya dan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, sehingga semalam, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 161 kes.

Katanya, daripada jumlah yang dikesan tersebut, 145 kes adalah VOC dan 16 kes adalah VOI.

“VOC yang dilaporkan adalah seperti berikut, iaitu sebanyak 123 kes adalah varian Beta melibatkan semua kes jangkitan tempatan, 13 kes varian Delta yang mana lapan kes jangkitan impot dan tiga kes jangkitan tempatan) serta sembilan kes adalah varian Alpha melibatkan lima kes jangkitan impot dan empat kes jangkitan tempatan.

“VOI yang dilaporkan pula adalah 12 kes adalah varian Theta yang mana kesemua kes jangkitan tempatan, tiga kes adalah varian Eta yang mana kesemua kes jangkitan impot dan satu kes varian Kappa melibatkan jangkitan impot,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyeru orang ramai untuk segera tampil mendaftarkan diri dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin dalam usaha membantu negara dalam membentuk imuniti kelompok.

Katanya, ia juga merupakan salah satu langkah bagi mengekang kesan buruk penularan varian dalam kalangan komuniti.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here