KKMM bakal tubuhkan perbadanan khusus industri muzik

0
39

CYBERJAYA – Setelah sekian lama, industri muzik tanah air bakal menerima lonjakan apabila Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang dalam proses membangunkan sebuah perbadanan khusus bagi industri tersebut.

Kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, langkah ini merupakan salah satu daripada aspirasi kementeriannya bagi memperkasakan industri muzik negara.

“Antara tujuan perbadanan ini ditubuhkan adalah untuk memajukan industri muzik kita.

“Bagi filem, kita ada Finas. Muzik juga perlukan sebuah badan yang dapat membantu dari segi pembangunan, yang mana dengan cara ini dana dapat disalurkan sebaiknya,” kata Saifuddin pada sidang akhbar sempena majlis penganugerahan Dana Kandungan Digital, Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA), hari ini.

Beliau turut menambah, antara tugas perbadanan yang bakal ditubuhkan itu termasuk usaha memulihara dan mempromosikan alatan dan genre muzik tradisional yang semakin tenggelam dek zaman.

Dalam majlis hari ini, seramai 960 penggiat muzik tanah air menerima dana berjumlah RM6 juta daripada KKMM, bagi menghasilkan kandungan kreatif dalam program Hiburan Dari Rumah (HDR).

Program ini melibatkan artis rakaman lama dan baharu, penyanyi dan pemuzik kelab hiburan, penyanyi dan pemuzik busker, ahli kumpulan nasyid dan lain-lain dari seluruh negara, merangkumi pelbagai peringkat umur dan genre muzik.

Kandungan kreatif yang dihasilkan perlu mempunyai unsur muzik dan berkonsepkan muzik dari rumah, bersesuaian dengan situasi pandemik pada ketika ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here