Klinik Siti perluas operasi HCO melalui pembukaan dua lagi PPV

0
1088
Orang ramai berurusan di salah satu kaunter PPV Universiti Malaya yang dikendalikan oleh Klinik Siti (Siti Healthcare Sdn. Bhd).

KUALA LUMPUR – Rangkaian penyedia perkhidmatan kesihatan, Klinik Siti yang diuruskan oleh Siti Healthcare Sdn. Bhd. mensasarkan pembukaan dua lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) selepas operasi di Universiti Malaya (UM) dan MITEC di sini.

Ketua Residen Klinik Siti, Dr. Syafinaz Mohamed Anwar berkata, selepas dua bulan beroperasi sebagai Health Care Organizer (HCO) bagi pemberian vaksin Covid-19, pihaknya diberi kepercayaan untuk memperluaskan perkhidmatan itu.

“Kami mula beroperasi sebagai HCO di Universiti Malaya pada 7 Mei lalu dan kemudian di Pusat Pameran dan Perdagangan Malaysia (MITEC) pada 7 Jun yang lalu.

“Alhamdulillah semua proses berjalan lancar mengikut perancangan dan ketetapan pihak Kementerian Kesihatan (KKM), insya-Allah.

“Kami akan membuka dua lagi PPV iaitu PPV Kuala Langat dan PPV Industri dalam masa terdekat untuk menampung keperluan program vaksinasi kerajaan yang sedang diperluaskan,” katanya kepada Malakat Tribune ketika ditemui di PPV MITEC hari ini.

Dr. Syafinaz Mohamed Anwar

Dr. Syafinaz berkata, melalui operasi di dua PPV sedia ada, pihaknya telah memberi suntikan kepada kira-kira 142,000 individu iaitu 107,000 penerima di PPV-AZ UM dan 35,000 di PPV MITEC.

Katanya, secara purata PPV MITEC yang memberikan suntikan vaksin jenis Sinovac mampu memberikan kira-kira 2,500 suntikan sehari manakala PPV-AZ UM pula mampu memberikan 2,000 suntikan (AstraZeneca) sehari.

Beliau berkata, sebagai HCO, Klinik Siti bertanggungjawab menyediakan tenaga kerja dalam urusan pemberian vaksin, menguruskan pembekalan, penyimpanan dan pengurusan dos vaksin yang disalurkan oleh pihak kerajaan.

“Di setiap PPV, kami mempunyai kira-kira 60 orang kakitangan yang terdiri daripada kakitangan klinikal profesional, bukan profesional dan dibantu oleh kira-kira 10 orang sukarelawan.

“Kami beroperasi dari pukul 8 pagi sehingga 9 malam pada hari bekerja dan 8 pagi sehingga 5 petang pada hari minggu,” katanya.

Petugas klinikal profesional memberikan suntikan vaksin Covid-19.

Dr. Faiqa Yousuf Shaikh

Sementara itu, Ketua Residen Klinik Siti, Dr. Faiqa Yousuf Shaikh berkata, selepas dua bulan beroperasi, pihaknya berjaya meningkatkan tahap kecekapan perkhidmatan termasuk memendekkan tempoh menunggu setiap penerima.

“Secara purata, masa yang diperlukan bagi setiap penerima adalah sekitar 45 minit bermula dari pengimbasan di pintu masuk utama sehingga selepas suntikan.

“Kita juga memberi perhatian yang serius kepada setiap aduan yang diterima dan berusaha membaikinya secepat mungkin,” ujar beliau.

Dr. Faiqa berkata, pihaknya juga menyediakan laluan ekspres atau fast lane bagi golongan kurang upaya (OKU) yang mana setiap daripada mereka akan dilayan oleh petugas sukarelawan tanpa perlu beratur atau mendapatkan nombor giliran.

Sementara itu, Klinik Siti yang menyertai Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) turut menyediakan suntikan di salah satu daripada 33 cawangan kliniknya iaitu di Prima Saujana, Kajang, Selangor.

Maklumat lanjut mengenai suntikan vaksin Covid-19 melalui Klinik Siti boleh diperolehi melalui talian 010-6595051.

Klinik Siti milik Siti Healthcare Sdn. Bhd milik syarikat bumiputera yang bertapak sejak 6 tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here