
KAJANG – Sebanyak 15 penunggang motosikal berkuasa tinggi dikompaun ketika melalui sekatan jalan raya di Jalan Semenyih-Kuala Klawang pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mereka dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana berkonvoi.
Mohd Zaid berkata, sekatan jalan raya itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat terdapat kumpulan motosikal itu menggunakan laluan tersebut.
“Dalam operasi tersebut, seramai 15 penunggang motosikal telah ditahan dan diperiksa sebelum mendapati mereka jelas melanggar SOP yang dikuatkuasakan kerajaan.
“Kesemua penunggang motosikal berusia 18 hingga 41 tahun itu telah dikenakan kompaun berjumlah RM75,000 iaitu RM5,000 setiap seorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Zaid, tindakan diambil di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
“Polis turut mengenakan 19 saman lalu lintas membabitkan pelbagai jenis kesalahan.
“Operasi ini akan dijalankan di lokasi spesifik dari masa ke masa untuk memastikan tiada pelanggaran SOP dan kesalahan lalu lintas berlaku,” ujarnya.