Kremlin tawar kereta, rumah ‘pancing’ vaksinasi masih rendah

0
52
Kremlin turut mengancam individu yang tidak divaksin akan menerima kesan ‘diskriminasi’ dalam sektor pekerjaan.

MOSCOW – Rusia menawarkan peluang memenangi kereta dan pangsapuri sebagai galakan kepada rakyat negara itu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 yang masih perlahan di negara itu.

Selain imbuhan, Kremlin dilaporkan turut ‘mengancam’ individu yang menolak suntikan itu dengan risiko kehilangan pendapatan akibat diberhentikan kerja.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, individu yang tidak divaksin tidak akan mempunyai kekebalan untuk bekerja dalam komuniti dan tidak akan dibenarkan bekerja selain akan didiskriminasi.

Bermula kelmarin, semua restoran, kafe dan bar di Moscow hanya akan membenarkan pelanggan yang diberi vaksin terhadap Covid-19, pulih dari virus tersebut dalam tempoh enam bulan terakhir atau dapat mengemukakan ujian negatif Covid-19 dalam tempoh 72 jam sebelumnya.

Sementara itu agensi berita luar melaporkan, jumlah kematian akibat Covid-19 di negara itu naik mendadak dengan rekod tertinggi sejak Februari lalu susulan penularan varian Delta.

Dalam tempoh 24 jam semalam, negara itu merekodkan 546 kematian menjadikan jumlah keseluruhan kes maut akibat wabak itu kini berjumlah 130,347, sekaligus menjadi negara keenam tertinggi di dunia.

Menurut kenyataan pihak berkuasa, jumlah terbaharu jangkitan yang direkodkan dalam tempoh yang sama semalam adalah 16,715, meningkat dua kali ganda berbanding kadar sebulan lalu.

Lonjakan daripada penularan varian Delta yang mula dikesan di India itu memaksa kerajaan mempercepatkan kadar vaksin dilaporkan masih perlahan di negara itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here