Kumpulan Malakat bersedia bekerjasama dengan Jakim, bantu usahawan dapatkan sijil halal

0
221
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat Eco, Mohd. Fadzil Hashim

CYBERJAYA – Kumpulan Malakat bersedia bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mana-mana Jabatan Agama Islam negeri-negeri lain bagi mendidik serta menyediakan ruang untuk usahawan Islam mendapatkan sijil halal.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim berkata, ini kerana berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, masih ramai usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) Muslim terutamanya masih belum mempunyai logo halal Jakim pada produk mereka.

“Saya sangat setuju jika kita boleh bekerjasama, kalau boleh kita buat secara rasmi dengan Jakim dan kita adakan satu ruang khusus dengan Malakat.

“Selain menyediakan ruang coaching bisnes, kita juga menyediakan ruang untuk penambahbaikan produk untuk para usahawan dan salah satu aspek itu ialah dengan mendapatkan sijil halal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung program MyHalal bersama Coach Fadzil mengupas topik PKS Halal Ada Peluang?, semalam.

Turut sama sebagai ahli panel undangan ialah Pengarah Kataya Sdn Bhd, Zaihan Kaswar dan artis terkenal, Tomok.

Coach Fadzil mengupas topik PKS Halal Ada Peluang? dalam Program MyHalal semalam

Mengulas lanjut, beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, buat masa ini pasar raya Malakat Grocer terutamanya tidak mewajibkan usahawan mempunyai logo halal.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya berpendapat logo halal yang dikeluarkan oleh Jakim sangat penting dalam usaha untuk usahawan IKS berkembang ke pasaran lebih besar dan mempunyai standard lebih tinggi.

“Di Malakat kita hendak didik usahawan dan bangunkan mereka, ada usahawan yang datang ke Malakat dengan produk yang sudah siap, tetapi ada juga usahawan startup dan malah ada juga usahawan asnaf yang datang.

“Di Malakat kita turut menyediakan ruang untuk usahawan asnaf ini menjual barangan mereka,” katanya.

Mengulas perancangan lanjut, pihaknya, Coach Fadzil berkata, pihak Malakat menyasarkan untuk menambah sebanyak 10 lagi pasar raya Malakat Grocer sebelum akhir hujung tahun ini.

Katanya, buat masa ini, pihaknya sudah mempunyai dua pusat beli belah Malakat Mall iaitu di Cyberjaya dan Masjid Tanah, Melaka serta lapan Malakat Grocer yang terletak di sekitar Lembah Klang dan satu di Masjid Tanah.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here