Kumpulan Malakat sah dapat ambil alih medan selera Mitsui KLIA

0
4032
Mitsui KLIA

CYBERJAYA – Kumpulan Malakat Eco secara rasminya telah mendapat tawaran untuk mengambil alih medan selera di Mitsui Outlet Park Lapangan Terbang Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim, tawaran itu merupakan satu berita baik terutamanya dalam usaha pihaknya untuk mengembangkan Malakat Ekosisten yang berpandukan kepada ekosistem ekonomi Islam.

“Ini adalah peluang yang baik untuk Kumpulan Malakat, bila kita masuk kita akan bawa sekali Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) yang merupakan usaha strategik bersama dan pada masa sama kita akan bawa sekali usahawan yang ada produk makanan power untuk turut serta.

“Secara keseluruhan kita ada 10 kiosk di medan selera di sini, empat kiosk akan diisi oleh rakan usahawan kita seperti laksa Mami Kitchen, Sushi Nan dan Oyster Box,” katanya dalam sesi Live Facebook.

Mengulas lanjut, beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, antara tarikan utama di medan selera tersebut ialah Restoran Bunch-Oh dan The Tarik Corner iaitu restoran berkonsepkan Mamak.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim

Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga akan memberikan wajah baharu kepada medan selera atau food court tersebut dengan dinaik taraf sebagai food hall.

Sehubungan itu, Coach Fadzil mempelawa mana-mana pengusaha makanan yang berminat dan mempunyai menu hidangan istimewa serta terbaik untuk menyertai mereka.

Sementara itu, mengulas kritikan sesetengah pihak bahawa tidak berbaloi untuk mengambil alih perniagaan besar seperti itu ketika suasana ekonomi yang tidak baik ditambah dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya, langkah itu diambil sebagai persediaan selepas ekonomi dibuka semula.

“Ada orang yang tak faham kenapa kita nak ambil sebab sekarang tiada orang berbelanja, memanglah sekarang tak ada orang tapi kita kena merancang bila pasaran dibuka nanti.

“Untuk makluman, di Mitsui sahaja ada lebih kurang 3,000 pekerja. Itu baru pekerja belum lagi pelanggan yang datang berbelanja. Mengikut data dianggarkan terdapat 2.5 juta pelanggan setahun yang datang ke pusat beli belah itu sebelum PKP,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here