
CYBERJAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra bagi meringankan beban kewangan
mereka yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.
Bagaimanapun, katanya, jumlah itu tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli berkenaan.
“Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.
“Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, pembayaran pertama dijangka dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos ini.-MT