Lembah Klang catat kes sporadik tertinggi, 69 peratus seluruh negara

0
74
Dr. Noor Hisham

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan mengesan 398,846 kes jangkitan Covid-19 sporadik sejak 1 Januari sehingga 19 Jun 2021, yang bersamaan 69 peratus daripada keseluruhan kes wabak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham berkata, kes-kes sporadik di negara ini dikesan melalui saringan tempat kerja, dalam komuniti dan saringan individu bergejala.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kes sporadik tersebut tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang berada di sekeliling mereka yang tidak mengamalkan SOP dengan betul.

“Lembah Klang mencatatkan jumlah kes sporadik tertinggi di Malaysia. Ini membabitkan tiga daerah iaitu Petaling Jaya dengan 3,905 kes, Hulu Langat (2,783 kes) dan Klang (2,482 kes),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, Selangor melaporkan kes sporadik tertinggi dengan 151,725 (38.0 peratus), diikuti Kuala Lumpur 44,517 kes (11.2 peratus) dan Sarawak 40,889 kes (10.3 peratus).

Beliau berkata, taburan pemetaan kes sporadik di kawasan Lembah Klang jelas bertambah bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-13 sehingga ME ke-24, di mana taburannya makin meluas dan ketara.

“Walaupun PKP 3.0 yang diumumkan pada 12 Mei 2021 (ME ke-19) dilihat telah berjaya mengawal peningkatan kes-kes kluster pada ME ke-24, namun kes-kes sporadik masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara.

“Oleh itu, KKM menyeru masyarakat untuk terus konsisten dalam mematuhi sepenuhnya SOP dan mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri.

“Ini sebagai salah satu langkah mendepani kes sporadik dan kes COVID-19 tidak bergejala, khususnya di kawasan sesak dan berisiko tinggi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here