LHDN minta berwaspada dengan scammer selepas 556 orang kerugian lebih RM15 juta

0
437
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai daripada agensi tersebut.

Menurut LHDN dalam satu kenyataan, sejak 1 Januari sehingga 27 Mei lalu, sebanyak 556 kes melibatkan kerugian lebih RM15.26 juta berkaitan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN telah disiasat oleh polis.

“Modus operandi yang digunakan oleh suspek atau scammer ialah dengan menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai dari LHDN. Scammer seterusnya menyatakan syarikat atau perniagaan mangsa masih mempunyai tunggakan cukai yang mesti dilunaskan.

“Mangsa yang terkeliru dengan panggilan ini kebiasaannya membuat penafian dan seterusnya panggilan akan disambungkan pula kepada individu yang menyamar sebagai polis, pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) atau pegawai dari agensi penguatkuasa yang lain dan memaksa mangsa untuk
membuat laporan rasmi.

“Mangsa seterusnya dikaitkan pula dengan kegiatan pengubahan wang haram, pengedaran dadah atau kegiatan jenayah yang lain sehinggakan mangsa menjadi panik dan mereka diminta untuk menyerahkan maklumat perbankan termasuklah nombor TAC/OTP bank,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, mangsa hanya menyedari mereka ditipu apabila mendapati wang dalam akaun mereka telah dipindahkan ke akaun bank pihak ketiga dan suspek tidak dapat dihubungi semula.

Sehubungan itu, LHDN menasihatkan orang ramai supaya melakukan pengesahan dengan LHDN terlebih dahulu terhadap setiap panggilan, e-mel mahupun surat yang meragukan dengan menghubungi talian Hasil Care Line atau talian pegawai yang boleh disemak senarainya pada portal rasmi www.hasil.gov.my atau hadir ke cawangan LHDN berhampiran.

Di samping itu, katanya, orang ramai juga boleh membuat semakan modus operandi sindiket penipuan ini melalui media sosial dan portal rasmi LHDN atau klik capaian pantas berikut: http://www.hasil.gov.my/bt_goindex.php? t_kump=10&bt_skum=1&bt_posi=1&
bt_unit=2&bt_sequ=1

“Adalah ditegaskan bahawa LHDN tidak membincangkan hal-hal berkaitan percukaian melalui panggilan telefon peribadi. Sebarang permohonan maklumat daripada pembayar cukai dan arahan pembayaran cukai tertunggak akan dilakukan secara teratur melalui surat atau e-mel rasmi yang menggunakan domain @hasil.gov.my.

“Selain itu, bagi pembayaran cukai juga, pembayar cukai hendaklah memastikan bayaran cukai dibuat kepada penama seperti pada jadual di bawah untuk memastikan bayaran tersebut benar-benar masuk ke akaun LHDN dan seterusnya mengelakkan diri daripada ditipu oleh scammer,” ujarnya-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here