Malakat Mall dapat tawaran buka di semua negeri

0
898
Malakat Mall Masjid Tanah

CYBERJAYA – Hampir semua kerajaan negeri ketika ini sudah membuat tawaran kepada Kumpulan Malakat Eco untuk membuka Malakat Mall di negeri masing-masing.

Pengasas Kumpulan Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim berkata, ada yang membuat tawaran premis milik kerajaan negeri dan juga premis milik GLC untuk dijadikan Malakat Mall.

Mohd Fadzil Hashim ketika sesi live pengumuman khas KoPPIM hari ini

“Ada juga kerajaan negeri yang tawarkan untuk kita bina di atas miliknya dan bersedia untuk menjadi pelabur dan rakan strategik untuk membina Malakat Mall di negeri masing-masing.

“Kita sememangnya merancang untuk buka di setiap negeri dan dalam tempoh tiga tahun akan datang kita menyasarkan ada sekurang-kurang 30 Malakat Mall di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi hos dalam pengumuman khas untuk ahli Koperasi Pembangunan Penguna Islam Malaysia (KoPPIM) hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Fadzil yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, untuk pembukaan Malakat Mall, pihaknya tidak perlu mengeluarkan modal yang tinggi.

“Seperti  yang saya katakan sebelum PKP, di Malaysia ada 100 mall mati dan selepas PKP perkiraan saya, ada 200 mall tutup sepenuhnya dan ada pemilik yang ingin hidupkan kembali.

“Dalam pasaran Malakat Mall, nak hidupkan mall mati, tidak perlu bayar. Kita bawa masuk 48 jenama milik kita sendiri, usahawan kita dan produk-produk yang ada untuk dipasarkan.

“Sewa pula berasaskan jualan seperti yang kita perkenalkan. Contohnya kita dapat tawaran daripada Mitusi Outlet KLIA untuk kita hidupkan ‘food court’ dan beberapa unit kedai di situ,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pembukaan lebih banyak Malakat Mall juga akan memberi keuntungan kepada ahli KoPPIM kerana Kumpulan Malakat Eco merupakan peneraju perniagaan koperasi itu.

Terdahulu hari ini, Kumpulan Malakat Eco bersetuju untuk memberikan insentif khas sebanyak RM1.2 juta kepada ahli-ahli KoPPIM seperti yang diumumkan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KoPPIM, Tuan Fazli Rahim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here